1 |
Berapa banyak jenis vaksin COVID-19 yang ada? |
Buat masa ini, vaksin-vaksin COVID-19 yang sedang melalui ujian klinikal fasa 3 dikategorikan kepada 5 jenis:
a. vaksin mRNA : e.g. Pfizer-BioNTech, Moderna, Arcturus
b. vaksin vektor virus: e.g. Astra-Zeneca, Gamaleya, Can-Sino
c. vaksin virus nyahaktif: e.g. Sinovac, Bharat
d. vaksin protein subunit : e.g. Novavax, Sanofi-Pasteur
e. virus-like particle (VLP) vaccines : e.g. Medicago
Kumpulan vaksin pertama yang akan diedarkan adalah daripada syarikat Pfizer - BioNTech.
Malaysia akan menerima bekalan vaksin tambahan daripada syarikat-syarikat lain seperti Astra-Zeneca dan Sinovac. |
2 |
Mengapakah saya perlu terima vaksin COVID-19? |
Dengan menerima suntikan vaksin, anda akan mengurangkan risiko mendapat serta menyebarkan penyakit COVID-19, mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan mengurangkan risiko mendapat komplikasi yang teruk.
Dengan menerima suntikan vaksin juga anda akan mengurangkan beban penjagaan kesihatan Malaysia yang kini berada pada tahap kritikal. Adalah sangat penting untuk Kementerian Kesihatan Malaysia untuk memberikan suntikan vaksin ini kepada sebanyak rakyat Malaysia yang boleh untuk mewujudkan imuniti kelompok terhadap jangkitan COVID-19 di seluruh Malaysia. Tahap liputan vaksinasi COVID-19 penduduk yang tinggi akan secara tidak langsung melindungi golongan yang tidak sesuai untuk diberi suntikan vaksin seperti kanak-kanak (kerana kurang data keselamatan vaksin COVID-19 untuk golongan ini). |
3 |
Bagaimana vaksin mRNA berfungsi? |
Spike protein di permukaan virus COVID-19 adalah struktur molekul yang bertanggungjawab untuk kemasukan virus COVID-19 ke dalam sel manusia dan menyebabkan jangkitan.
Vaksin COVID-19 mRNA (messenger RNA atau RNA utusan) mempunyai molekul RNA untaian tunggal (single-stranded molecule) yang mempunyai kod genetik untuk menghasilkan spike protein COVID-19 tersebut.
Bezanya, spike protein yang dihasilkan oleh vaksin mRNA ini adalah tidak berbahaya, dan tidak menyebabkan jangkitan. Walaubagaimanapun, protein ini masih mampu dikenalpasti oleh sistem imun kita untuk penghasilan antibodi. Antibodi inilah yang akan melindungi kita sekiranya kita dijangkiti virus sebenar. |